Majoriti masyarakat hari ini menyedari akan kepentingan memiliki kad perubatan. Terdapat pelbagai pakej kad perubatan dalam pasaran, jadi, bagaimana kita sebagai pelanggan memilih pakej terbaik? Jika kita ingin membeli kereta, kita boleh membandingkan teknologi, kuasa enjin dan ciri keselamatan. Jika ingin membeli komputer pula kita boleh membandingkan kelajuan, reka bentuk dan cipnya. Jika ingin mengambil kad perubatan, apakah perkara penting untuk membuat perbandingan?

Lazimnya, orang akan membandingkan harga dahulu, berapa caruman yang perlu dibayar setiap bulan, yang mana paling murah? Ya memang benar kita perlu mengambil pelan takaful yang sesuai dengan kemampuan kita, tetapi yang lebih utama adalah apakah manfaat yang kita perolehi. Mari kita lihat perkara-perkara penting dalam memilih kad perubatan.

Jenis Pelan Kad Perubatan: Stand-alone atau rider

Kad perubatan stand-alone adalah pelan kad perubatan yang kendiri, bermakna pelan tersebut hanya memberikan manfaat perlindungan perubatan sahaja tanpa perlindungan lain seperti kematian. Kadar caruman stand-alone adalah lebih murah berbanding pakej rider di peringkat awal penyertaan, tetapi anda perlu ingat, caruman pakej stand-alone akan meningkat mengikut jadual umur, biasanya meningkat setiap 4-5 tahun.

Manakala pelan rider pula adalah sebahagian daripada pakej perlindungan yang merangkumi perlindungan asas, perlindungan perubatan, dan pelaburan. Atau yang biasa anda dengar, pelan 3 dalam 1. Kelebihan pelan rider adalah di bawah satu caruman anda tidak hanya dilindungi dengan pelan perubatan, tetapi dengan pelbagai manfaat lain yang anda pilih bersama denagan simpanan.

Caruman untuk pelan rider pada awalnya akan nampak lebih mahal sedikit dibandingkan dengan stand-alone kerana ia dipakejkan dengan manfaat-manfaat lain, walaubagaimanapun, kebayakan caruman pelan rider adalah tetap dan tidak meningkat mengikut jadual umur. Selain itu, pelan rider juga anda mempunyai tabung tunai, yang mana ia boleh dikeluarkan untuk kegunaan peribadi pada masa hadapan, dan kemungkinan untuk sijil luput disebabkan terlepas atau terlewat bayar adalah rendah, kerana tabung ini akan menampung bayaran caruman bulanan sekiranya anda tidak membayarnya.

Untuk kedua-dua jenis pelan perubatan, apabila berlakunya semakan semula kadar caruman (“Re-pricing”), kemungkinan anda perlu menambah caruman pelan anda.

Had Tahunan

Had tahunan bermaksud had maksimum manfaat perubatan yang boleh dituntut bagi satu-satu tahun. Contohnya had maksimum kad perubatan adalah RM200,000, anda hanya boleh menuntut maksimum RM200,000 sahaja bagi menampung kos rawatan anda pada tahun tersebut, sekiranya kos rawatan melebihi RM200,000, anda perlu membayar lebihannya menggunakan wang anda sendiri.

Had tahunan ini akan diperbaharui semula untuk setiap tahun. Jika tahun ini, anda sudah menggunakan seluruh had tahunan, makan tahun depan, had tahunan dikira semula

Had Seumur Hidup

Had seumur hidup adalah had maksimum manfaat perubatan selagi mana sijil masih berkuat kuasa. Contohnya, had seumur hidup adalah RM1,000,000. Jika dalam tempoh 5 tahun anda telah menggunakan RM1,000,000 bagi menampung kos rawatan, maka sijil akan tamat secara automatik. Bermakna anda tidak boleh lagi menggunakan kad perubatan tersebut.

Had tahunan atau had seumur hidup yang lebih penting? Kebiasaannya, jarang orang sakit berterusan selama bertahun-tahun. Anda juga perlu tahu bahawa inflasi perubatan agak tinggi iaitu sekitar 10% setahun. Kos rawatan bernilai RM50,000 hari ini akan meningkat kepada RM330,000 pada 20 tahun akan datang dengan kadar inflasi 10%!

Jadi, lebih penting untuk memilih had seumur hidup yang tiada limit atau lebih tinggi berbanding had tahunan sahaja yang tinggi. Kebiasaannya sekarang, untuk kad perubatan jenis rider, had seumur hidup adalah unlimited.

Harga Bilik dan Penginapan

Setiap kad perubatan akan memperuntukkan berapa had harga bilik penginapan hospital. Jika anda memilih pelan dengan harga bilik RM200, anda layak untuk tinggal di bilik yang berharga tidak lebih RM200 satu malam, tidak kira bilik kongsi atau berasingan selagi mana tidak melebihi RM200. Jika anda memilih untuk menginap di bilik yang lebih mahal, anda perlu menanggung sendiri lebihan tersebut. Sekiranya pelan perubatan anda mempunyai ko-takaful, anda perlu membayar sebahagian daripada jumlah bil hospital berdasarkan peratusan ko-takaful anda.

Elaun Tunai Harian

Elaun ini diberikan sekiranya pencarum dimasukkan ke dalam wad. Ia dibayar berdasarkan jumlah hari anda menginap di dalam wad. Elaun Tunai Harian boleh juga digunakan menampung kos tambahan semasa penghospitalan, contohnya untuk membayar seorang pembantu untuk menjaga anak anda di rumah atau membayar kos perjalanan ulang-alik ke hospital.

Walau bagaimanapun, manfaat elaun tunai kebiasaannya adalah manfaat tambahan, anda boleh memilih untuk ambil atau tidak.

Jika anda bekerja sendiri atau berniaga, manfaat elaun tunai penting bagi anda untuk bertindak sebagai pengganti pendapatan. Jika anda makan gaji, mungkin manfaat ini tidak begitu penting untuk anda.

Kesimpulan

 

Pilihlah kad perubatan yang paling sesuai dengan keperluan dan kemampuan diri masing-masing. Yang paling penting, janganlah membuat perbandingan terlalu lama sehinggakan ‘quotation’ hanya kekal sebagai ‘quotation sahaja’.

 

Untuk memudahkan anda membuat keputusan, berjumpa dengan Penasihat Kewangan Bertauliah (FAR) adalah pilihan yang tepat.

Similar Posts